Isnin – Jumaat: 8:00 Pagi – 5:00 Petang
Sabtu & Ahad: Mengikut Temu Janji
Bagaimana ibu bapa dapat melatih dan membantu anak supaya mereka dapat memahami dan mengurus emosi?
Artikel ini akan membincangkan tentang empat (4) langkah yang membantu ibu bapa mendidik anak mengurus emosi. Apabila kita bercakap tentang anak-anak, kita secara umumnya akan berbincang atau memberikan fokus tentang tingkah laku anak. Bagaimana anak perlu bertingkah laku, dan mengapakah anak bertingkah laku sedemikian? Serta banyak lagi persoalan berkisar tentang tingkah laku anak. Sedarkah kita bahawa tingkah laku ini merupakan interpretasi daripada emosi anak-anak?
Apa yang ada dalam tingkah laku kanak-kanak adalah emosi mereka. Emosi ini dikeluarkan melalui tingkah laku. Jika emosi anak tidak stabil, bagaimana kita dapat mengharapkan tingkah laku atau interpretasi yang baik? Jika anak berada dalam keadaan stres, sedih atau berasa keinginan mereka tidak dipenuhi, sukar untuk kita mengharapkan emosi anak berada dalam keadaan yang baik. Oleh sebab itu, adalah penting bagi ibu bapa untuk melatih anak supaya emosi anak berada dalam keadaan yang baik kerana interpretasi tingkah laku anak bergantung kepada tahap atau keadaan emosi anak.
Menghormati dan menerima perasaan anak
Salah satu cara ibu bapa dapat membantu anak supaya berasa baik ialah dengan menghormati dan menerima perasaan anak. Bagaimanakah caranya?
Kebanyakan ibu bapa sekarang lebih cenderung untuk menafikan atau menidakkan perasaan anak. Contohnya, apabila anak berasa letih, anak mengadu kepada ibu atau bapa. Antara respon ibu bapa ialah dengan menafikan keluhan atau rungutan anak dalam sesuatu perkara atau keadaan. Ibu bapa menidakkan dan menganggap kata-kata anak tersebut hanyalah alasan sahaja. Apakah kesan daripada respon ini terhadap anak-anak?Â
Anak akan menjadi keliru dan memberontak. Anak berasa ibu bapa tidak memahami apa yang cuba diluahkan dan tidak percaya kepada mereka. Akhirnya, anak terbiasa untuk tidak mempercayai emosi atau perasaan sendiri.Â
Bagaimana ibu bapa boleh memahami perasaan atau emosi anak? Salah satu cara untuk memahami emosi anak ialah dengan meletakkan ibu bapa dalam emosi anak. Sentiasa letakkan diri ibu bapa dalam situasi yang sedang dilalui oleh anak. Fahami sebab anak berasa takut, sedih, bosan dan lain-lain. Apabila ibu bapa bertanya kepada diri sendiri tentang rasa dan kemahuan untuk didengari dan difahami oleh orang dewasa, ibu bapa dapat merasai apa yang dirasai oleh anak. Â
Contohnya, apabila anak mengadu letih, apakah respon yang sepatutnya diberikan oleh ibu bapa kepada anak? Untuk membentuk tingkah laku anak yang baik, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh ibu bapa ialah memahami dan menerima emosi anak.
Â
Oleh yang demikian, dapatlah dirumuskan empat (4) langkah berikut:
1. Memberi perhatian sepenuhnya semasa anak meluahkan perasaan
Apabila anak bercakap dan ingin menyatakan atau meluahkan sesuatu, berilah perhatian sepenuhnya kepada anak. Jika kita mengadu kepada orang lain tentang diri kita, tetapi tidak diendahkan pastinya kita berasa sedih.Â
2. Melayani anak menggunakan bahasa yang mudah
Perkataan yang mudah membantu anak-anak meluahkan emosi mereka kepada ibu bapa. Contoh respon mudah kepada anak adalah seperti “ohh..”, “mmm…”, atau “begitu…”. Elakkan juga dari menyoal atau memberi nasihat dengan tergesa-gesa dan sebaliknya berilah maklum balas dengan kata-kata yang mudah. Cuba fahami emosi anak-anak sebelum memberi maklum balas kepada anak-anak. Berikan galakan kepada anak supaya terus bercerita kerana peluang dan ruang yang diberi kepada anak untuk meluahkan emosi mereka adalah sebahagian daripada proses membantu anak memahami perasaannya sendiri.
3. Meraikan perasaan anak
Raikanlah emosi anak sama ada ketika sedih, marah, kecewa, takut dan lain-lain. Anak-anak akan berasa dihargai, didengari, dan difahami berbanding respon ibu bapa menafikan perasaan anak. Kita jelaskan emosi anak dengan memahami emosi anak seterusnya membantu anak memahami emosinya. Elakkan kata-kata yang menafikan perasaan anak.
4. Memenuhi keperluan anak secara imaginasi dan kreatif
Ibu bapa perlu sentiasa mencuba untuk membawa anak ke arah suasana atau pendekatan yang lebih mesra dan selesa. Gunakan kata-kata yang menaikkan imaginasi dan kreativiti anak, dan elakkan penerangan atau kata-kata yang berasaskan logik yang kurang difahami anak.
Kesimpulannya, cara-cara untuk membantu anak mengurus dan mengedalikan emosi mereka ialah dengan: (1) mendengar secara aktif (2) memberi respon atau maklum balas dengan perkataan mudah (3) raikan emosi anak dan (4) elakkan daripada memberi penerangan berasaskan logik.
Kongsikan artikel ini bagi manfaat kepada ibu bapa dan pembaca lain.
Â
Kaunselor & Perunding Terapi Cara Kerja (Theraplay Malaysia)
Pelbagai aktiviti menarik dijalankan di Theraplay Malaysia bagi merangsang pembelajaran dan meningkatkan daya sensori pelajar.
Daftar Sekarang
Comments are closed