Waktu Operasi

Autisme: Manfaat Rawatan Terapi Cara Kerja

World Health Organization (WHO) pada tahun 2017 mendedahkan 1 dalam kalangan 160 orang kanak – kanak mengalami autisme di dunia dan prevalensnya meningkat secara global berdasarkan kajian – kajian epidemiologi yang telah dijalankan selama lebih dari 50 tahun. Di Malaysia, perangkaan terbaru yang dikeluarkan oleh Centre for Disease Control (CDC) menunjukkan terdapat sejumlah kira – kira 300,000 kanak – kanak termasuklah individu dewasa menderita autisme.
 
Perangkaan – perangkaan ini jelas menandakan ramai ibu – bapa di luar sana yang bergelut dengan cabaran hebat dalam membesarkan dan mendidik anak – anak istimewa ini dan dilaporkan mereka turut menghadapi tekanan yang tinggi berbanding ibu – bapa yang mempunyai anak yang normal dan anak dengan ketidakupayaan yang lain seperti Down Syndrome. Hal ini berlaku akibat kerumitan gejala – gejala autisme itu sendiri yang sangat kompleks dan mencabar, namun ianya perlu didepani mereka saban waktu. Selain itu, wujudnya faktor – faktor persekitaran yang turut menekan mereka seperti beban kos perubatan, kekangan aktiviti sosial, stigma masyarakat dan sebagainya.
 

Apakah Autisme dan gejala – gejalanya?

 
Menurut National Institute of Mental Health, autisme merupakan satu gangguan perkembangan yang menjejaskan komunikasi dan tingkah laku. Ia juga dikategorikan sebagai satu penyakit psikiatri oleh Diagnostic & Stastical Manual of Mental Disorders (DSM – 5) yang turut dikenali sebagai Autism Spectrum Disorder (ASD). Antara gejala – gejala autisme adalah seperti kesukaran berkomunikasi dan bersosial, mempamerkan tingkah laku yang agresif dan hiperaktif, mengalami masalah memproses rangsangan sensori, sulit mengendalikan emosi, tingkah laku dan percakapan yang berulang – ulang, tidak menunjukkan minat untuk berkawan dan bermain dengan kanak – kanak lain, kekangan minat, tantrum yang keterlaluan tanpa sebab, terlalu sensitif kepada sesuatu, tidak menunjukkan kontak mata dan banyak lagi.
 
Autisme boleh dikesan pada peringkat awal perkembangan kanak – kanak iaitu di antara usia 12 bulan sehingga 3 tahun. Ia boleh berlaku pada semua etnik, bangsa mahupun latar belakang ekonomi. Walau bagaimanapun, kanak – kanak lelaki lebih berpotensi mengalaminya sebanyak 4 kali berbanding kanak – kanak perempuan seperti yang dilaporkan oleh CDC pada tahun 2018.
 
Setiap individu autistik mempunyai tahap kondisi dan spektrum autisme yang berbeza – beza antara satu sama lain. Justeru itu, terdapat perbezaan yang nyata dalam aspek intelektual, kognitif, emosi, sosial dan tingkah laku pengidap autisme. Walaupun autisme boleh menjadi gangguan sepanjang hayat, namun dengan diagnosis awal serta rawatan perubatan dan program pemulihan yang segera, mampu memperbaiki gejala dan keupayaan pengidapnya untuk berfungsi secara lebih optimum dan berkualiti dalam kehidupan seharian.
 

Manfaat Rawatan Terapi Carakerja

 
Terapi Carakerja merupakan bidang pemulihan yang telah dibuktikan antara yang paling berkesan merawat autisme di mana bagi tempoh jangka masa panjang, ia membantu meningkatkan harga diri dan keyakinan pengidapnya seterusnya memperbaiki kemahiran sosial dan pembelajaran mereka. Bidang ini mahir dengan perkembangan manusia terutamanya bagaimana mereka berinteraksi dengan dunia dan persekitarannya.
 
Bidang ini dapat membantu kanak – kanak autistik membentuk tingkah laku normal, memperbaiki prestasi akademik dan mencapai kehidupan seharian yang lebih baik.
 
Matlamat utamanya adalah untuk menggalakkan keberdikarian dalam kesemua aspek kehidupan dengan menfokuskan beberapa bahagian utama dalam rawatan seperti proses sensori, persepsi, kemahiran kognitif, kemahiran motor visual, kemahiran motor halus, interaksi sosial dan keyakinan diri.
Pakar Terapi Carakerja, Corinna Laurie menegaskan proses sensori paling penting ditekankan kerana masalah memproses ransangan sensori dapat menghalang proses pembelajaran kanak – kanak autistik dan rawatan yang bersesuaian dapat membantu mereka menjadi lebih tenang dan fokus. Banyak kajian yang telah dijalankan sebelum ini juga mendapati pengidap autisme lebih lambat untuk mengintegrasikan input dari deria mereka menjadikan kelajuan pemprosesan maklumat mereka lebih perlahan berbanding individu normal.
 

Rawatan Integrasi Sensori atau lebih dikenali sebgai Sensory Integration (SI) biasanya dijalankan ke atas kanak – kanak yang mengalami masalah memproses sensori dalam pelbagai kaedah yang menyeronokkan dengan mengaplikasikan rangsangan deria dan penggunaan alat permainan yang digemari mereka. Antara contoh rawatan SI Yang dilakukan oleh terapis carakerja ialah aktiviti melompat atas trampolin, bermain jongkang – jongkit dan buaian, regangan di atas bola untuk meransang deria vestibular (keseimbangan), memakai baju pemberat, aktiviti fizikal, aktiviti berkebun dan terapi berkuda untuk merangsang deria proprioceptive (kedudukan sendi) dan banyak lagi.

Selain SI, antara bentuk rawatan – rawatan Terapi Carakerja yang digunakan bagi merawat gejala – gejala autisme yang lain ialah seperti intervensi pengubahsuaian tingkah laku bagi membetulkan serta – merta tingkah laku yang tidak diingini, intervensi komunikasi, ransangan otot mulut, aktiviti penjagaan diri, aktiviti kemahiran sosial, aktiviti kognitif, aktiviti motor kasar dan motor halus.

 

0988dd8a7f5a119cbf368ce5dcc8c8f06856f24e044f42e2623a145f6aaebaf2?s=189&d=mm&r=g

Syuhadah Sufian

Jurupulih Cara Kerja (Theraplay Malaysia)

Comments are closed

WhatsApp